Thursday, December 12, 2024

Cara Kira Annualised Return Daripada Total Return Unit Trust

Karangan ini khas untuk pelabur unit trust dan juga agen unit trust, khususnya bagaimana nak baca Quaterly Fund Report.

Seterusnya agent dapat memberi penerangan yang berkualiti kepada pelabur dan kemudiannya pelabur menjelaskan kepada isterinya pula.

Begitu ramai agent yang menyebarkan ajaran sesat pengiraan pulangan pelaburan. Sesat dan menyesatkan. Sesat di dunia pelaburan boleh terjerumus ke neraka wang.


Di akhir karangan ini, diharapkan ajaran sesat pengiraan pulangan unit trust boleh lah dihapuskan hendaknya.

Untuk itu, saya ambil prestasi FUND A (bukan nama betul) sebagai kajian kes. 


Total Return FUND A untuk 10 tahun ialah 190.54% manakala Annualised Return ialah 11.24%. Saya akan tunjukkan apa kaitan antara Total Return dan Annualised  Return.


Total Return

Total return bermakna jumlah untung berbanding dengan nilai pelaburan asal. Contohnya jika saya melabur RM 1000 di dalam FUND A sepuluh tahun dulu dengan service charge 3%, berapakah jumlah keuntungan saya sekarang dalam RM?

Profit

= RM 1000÷ 1.03 × 190.54 ÷ 100

= RM 1849.90

Ini bermakna nilai semasa pelaburan saya sekarang ialah;

= Modal + Profit

= RM 1000 + RM 1849.90

= RM 2849.90

Total return digunakan untuk mengira berapa nilai semasa pelaburan berbanding nilai asal. Ini tentunya lebih mudah untuk difahami berbanding jika diberitahu pulangan dalam bentuk peratus.

Contohnya saya nak tahu berapa kali gandakah nilai pelaburan saya? Dalam contoh ini, nilai pelaburan sudah berganda sebanyak;

1 + (190.54 ÷ 100 ÷ 1.03) = 2.849 kali ganda, ini sudah termasuk service charge sebanyak 3%.

Oleh itu jika saya mula melabur sebanyak RM 88,000 sepuluh tahun dulu dalam FUND A, nilai pelaburan saya sekarang ialah

RM 88,000 x 2.849 = RM 250,791.46

Saya untung RM 162,791.46, (berbanding service charge RM 2,563.11 sahaja)


Annualised Return

Sekarang jom kita kira bagaimana nak dapatkan Annualised Return daripada Total Return.

Jika Total Return untuk tempoh 10 tahun ialah 190.54%, kira annualised return.

Jawapan:

Guna formula Future Value (FV);

FV = PV × (1+i);

PV = 1

FV = 1 + 1.9054 = 2.9054

n = 10;

Gantikan dalam persamaan FV di atas;

2.9054 = 1 × (1+i)n

(1+i)10=  2.9054

Oleh itu selesaikan i=

i = 11.25%

Bandingkan dengan 10-year Annualised Return seperti dalam Quaterly Fund Report FUND A.

Ya 99.99% tepat! Perbezaan 0.01 disebabkan oleh rounding error sahaja.

Annualised Return di sini bermaksud compounded annualised return. Dalam Bahasa Melayu, pulangan tahunan terkompaun.

Ia berbeza dengan pulangan purata tahunan atau simple annualised return, di mana total return 190.54% dibahagi dengan 10 tahun, maka dapatlah 19.05% setahun. Dan ini sama sekali tidak boleh untuk digunakan untuk membandingkan pulangan unit trust dengan dividen KWSP atau Tabung Haji.


Kepada agen unit trust, guna annualised return untuk bandingkan prestasi pelaburan, bukan main bahagi Total Return dengan tahun sahaja ya.

Pun begitu, Annualised Return ada kelemahannya juga.

Annualised return 11.24% tidak bermakna setiap tahun FUND A mencatatkan pulangan sebanyak 11.24% konsisten tahun demi tahun. Ternyata ada tahun lebih 20% dan ada tahun sekadar 5% sehaja.

Sebagai contoh lain, jadual di bawah menunjukkan Dana A dan Dana B mencatatkan Total Return yang sama untuk tempoh 5 tahun. Dan jika anda kira, Annualised Return pun sama. Tapi pulangan tahun demi tahun jelas tidak sama antara keduanya.

Jika anda bijak, dana apa yang lebih baik? Dana A atau Dana B?

Berikan sebabnya.

Sekian,

Elias Abllah,

Personal Finance


Monday, December 9, 2024

Celik mengurus kewangan sebahagian tuntutan agama

Umat Islam dituntut menguruskan kewangan dengan baik supaya menghindari pembaziran dan menggunakannya mengikut keperluan. - Foto hiasan
Umat Islam dituntut menguruskan kewangan dengan baik supaya menghindari pembaziran dan menggunakannya mengikut keperluan. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Celik pengurusan kewangan perlu menjadi matlamat utama umat Islam masa kini bukan sahaja untuk merancang perbelanjaan, bahkan menguruskan hutang dengan lebih sistematik.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Fuadah Johari, berkata celik dan mahir selok-belok pengurusan kewangan adalah sebahagian daripada tuntutan agama.

Katanya, perspektif pengurusan kewangan teratur amat dituntut agama dan umat Islam seharusnya melakukan anjakan minda dalam memastikan disiplin tatakelola kewangan lebih baik.

"Islam melarang pembaziran (isyraf) serta bersifat bakhil serta kedekut dan hal ini orang ramai khususnya kalangan Muslim amat digalakkan membuat perancangan berhemah.

"Dalam konteks ini, umat Islam harus memahami prinsip asas maqasid syariah, iaitu pengurusan kewangan adalah amanah untuk menjaga maslahah (kepentingan) kehidupan seperti perlindungan keperluan asas, kesejahteraan keluarga dan pemeliharaan amanah harta sebaiknya.

"Masyarakat Islam juga dituntut mengamalkan disiplin kewangan dengan berbelanja mengikut kemampuan, mengutamakan keperluan berbanding kehendak dan menyimpan untuk masa hadapan," katanya.

Pengurusan patuh syariah

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai disiplin kewangan dan kefahaman umat Islam, termasuk persediaan tabungan bagi menunaikan haji kelak.

Fuadah yang juga Felo Penyelidik, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam menjelaskan, tuntutan meningkatkan literasi kewangan Islam penting bagi memastikan pengurusan kewangan patuh syariah, tersusun dan sistematik serta disusuli perancangan teliti bagi menjamin kesejahteraan kewangan ummah.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Fuadah Johari.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Fuadah Johari.

"Literasi kewangan Islam akan membolehkan Muslim lebih memahami konsep zakat, sedekah dan wakaf yang bukan sahaja mendisiplinkan kewangan peribadi, tetapi memberikan manfaat kepada masyarakat.

"Justeru, tindakan boleh dilakukan untuk mencapai tahap literasi kewangan lebih baik adalah menerusi pendidikan kewangan Islam secara meluas supaya ia dapat membangkitkan lagi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya memahami konsep kewangan patuh syariah.

"Dalam hal ini, kursus atau bengkel pengurusan kewangan Islam patut dianjurkan seperti di masjid, sekolah dan komuniti," katanya.

Beliau berkata, langkah seterusnya ialah mengetengahkan modul bajet dan pelaburan berdasarkan prinsip syariah supaya seseorang dapat merancang kewangan berdasarkan keutamaan Islam.

"Perkara ini dapat dilakukan dengan membuat perancangan takaful untuk melaburkan harta dalam instrumen patuh syariah seperti sukuk, saham patuh syariah atau dana unit amanah Islam serta mengelak pelaburan dalam sektor dilarang seperti riba, perjudian atau produk haram.

"Seterusnya, umat Islam perlu didedahkan dengan budaya amalan dermawan menerusi galakan umat Islam menyumbang melalui wakaf, sedekah atau infak yang berpotensi mengukuhkan institusi kebajikan Islam," katanya.

Katanya, ia juga dilakukan dengan usaha dapat memperkasakan institusi zakat, wakaf dan baitulmal untuk membantu orang Islam memerlukan sokongan kewangan, sekali gus memastikan keseimbangan ekonomi dalam masyarakat.

Bakal haji perlu merancang

Dalam pada itu, beliau berkata, untuk memastikan bakal haji mempunyai simpanan mencukupi, bakal jemaah perlu merancang secara berhemah.

Penubuhan Tabung Haji mendidik umat Islam dalam aspek pengurusan kewangan untuk mencapai cita-cita menunaikan haji di tanah suci. - Foto hiasan
Penubuhan Tabung Haji mendidik umat Islam dalam aspek pengurusan kewangan untuk mencapai cita-cita menunaikan haji di tanah suci. - Foto hiasan

"Kewajipan menunaikan haji hanya tertakluk kepada mereka berkemampuan, namun apabila ada orang Islam mengharapkan bantuan kewangan daripada saudara-mara atau jiran untuk mencukupkan simpanan mereka, ia menunjukkan keperluan mendesak memperkukuhkan budaya perancangan kewangan dalam kalangan umat Islam.

"Justeru, bagi mengelakkan perkara ini berlaku dalam kalangan masyarakat, orang Islam perlu memulakan tabungan awal, termasuk membuka akaun simpanan haji di Tabung Haji seawal mungkin.

"Tabungan secara konsisten, walaupun dalam jumlah kecil akan memberikan peluang untuk mengumpul dana dalam jangka masa panjang.

"Ibu bapa perlu bertindak memulakan simpanan untuk anak-anak khusus untuk tujuan menunaikan haji, sebagai langkah awal membudayakan perancangan kewangan dalam keluarga.

"Kita perlu membudayakan konsep istiqamah menabung sebagai disiplin dan menjadi sebahagian daripada rutin kewangan, mengutamakan prinsip 'menyimpan sebelum berbelanja'," katanya.

Ini adalah selari dengan konsep asal penubuhan Tabung Haji seperti yang diilhamkan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz bagi mendidik disiplin pengurusan kewangan dalam kalangan masyarakat Melayu untuk mencapai cita-cita menunaikan haji di Tanah Suci.

Semestinya perlu ada anjakan pemikiran yang lebih maju ke hadapan kerana kita tidak mahu lagi melihat masyarakat kita berkorban harta, binatang ternakan dan tanah semata-mata untuk mencukupkan tabungan bagi menunaikan haji seperti suatu ketika dahulu.

Kredit : BHarian

Friday, December 6, 2024

Asas Pengurusan Kewangan Untuk Orang Muda

 

Asas pengurusan kewangan untuk orang muda adalah penting bagi membina tabiat kewangan yang sihat sejak awal. Berikut adalah langkah asas yang boleh dijadikan panduan:

1. Bina Belanjawan yang Jelas

Langkah-Langkah:

  • Rekodkan Semua Pendapatan: Pastikan anda tahu dari mana wang anda datang, seperti gaji, elaun, atau pendapatan tambahan.
  • Catat Perbelanjaan Harian: Simpan resit dan rekod semua perbelanjaan, termasuk yang kecil seperti kopi atau tambang bas.
  • Gunakan Kaedah Belanjawan:
    • 50% untuk keperluan asas: seperti sewa rumah, bil, makanan, dan pengangkutan.
    • 30% untuk kehendak: hiburan, makan di luar, atau langganan seperti Netflix.
    • 20% untuk simpanan dan pelaburan: Dana kecemasan, simpanan masa depan, atau pelaburan jangka panjang.

Alat yang Boleh Digunakan:

  • Aplikasi belanjawan seperti YNAB, Mint, atau Excel untuk memantau kewangan anda.

2. Sediakan Dana Kecemasan

Apa itu Dana Kecemasan?

Dana kecemasan ialah wang yang disimpan untuk situasi tak terduga seperti:

  • Kehilangan pekerjaan.
  • Kemalangan atau kecemasan perubatan.
  • Kerosakan harta benda (contoh: kereta rosak).

Cara Mula:

  • Tetapkan matlamat untuk menyimpan 3-6 bulan gaji.
  • Mulakan dengan simpanan bulanan kecil, seperti 10% pendapatan.
  • Simpan di akaun mudah diakses seperti akaun simpanan atau Tabung Haji.


3. Elakkan Hutang yang Tidak Perlu

Langkah Mengurus Hutang:

  • Gunakan Kad Kredit dengan Bijak:
    • Bayar penuh baki bulanan untuk mengelakkan caj faedah.
    • Elakkan penggunaan kad kredit untuk membeli barang yang tidak mampu dibayar.
  • Utamakan Bayaran Hutang: Jika ada pinjaman, fokus pada yang mempunyai kadar faedah tertinggi terlebih dahulu.

Elakkan:

  • Membeli barang mewah dengan pinjaman.
  • Mengambil hutang untuk gaya hidup.


4. Mulakan Simpanan Seawal Mungkin

Kenapa Penting?

  • Semakin awal anda menyimpan, semakin cepat wang anda berkembang melalui faedah berganda (compound interest).

Cara Mudah:

  • Automatikkan simpanan dengan memotong sebahagian gaji terus ke akaun simpanan.
  • Tetapkan sasaran, contohnya RM50 setiap minggu.


5. Kenali Kuasa Pelaburan

Apa Itu Pelaburan?

Melabur bermaksud menggunakan wang untuk menjana lebih banyak wang dalam jangka panjang.

Pilihan Pelaburan yang Selamat untuk Pemula:

  • Unit Amanah: Seperti ASB atau Tabung Haji.
  • Pelaburan Emas: Seperti akaun emas di bank.
  • ETF atau Saham: Mulakan dengan jumlah kecil untuk belajar.

Langkah Awal:

  • Fahami risiko setiap jenis pelaburan.
  • Jangan melabur dalam skim cepat kaya.


6. Lindungi Diri dengan skim Takaful

Jenis Takaful Penting:

  • Takaful Perubatan: Melindungi daripada kos rawatan hospital yang tinggi.
  • Takaful Hayat: Untuk menjaga kebajikan keluarga jika berlaku sesuatu.

Pilih dengan Bijak:

  • Fahami polisi sebelum menandatangani.
  • Bandingkan pelan insurans daripada beberapa syarikat.


7. Tetapkan Matlamat Kewangan

Matlamat Jangka Pendek:

  • Simpanan untuk melancong atau membeli telefon baru.

Matlamat Jangka Panjang:

  • Membeli rumah, bersara awal, atau menyimpan untuk pendidikan anak.

Langkah Tindakan:

  • Pecahkan matlamat kepada langkah kecil.
  • Contoh: Jika anda mahu menyimpan RM10,000 dalam 2 tahun, simpan RM416 setiap bulan.


8. Tambah Pendapatan

Cara Menjana Pendapatan Tambahan:

  • Kerja Sambilan: Contohnya, kerja sebagai penulis bebas, jurugambar, atau tutor.
  • Bisnes Kecil-kecilan: Seperti menjual produk dalam talian atau dropshipping.
  • Pelaburan: Mulakan dengan aset kecil yang boleh memberikan dividen.


9. Didik Diri tentang Kewangan

Sumber Belajar:

  • Buku: Contoh: Rich Dad Poor Dad oleh Robert Kiyosaki, atau The Intelligent Investor oleh Benjamin Graham.
  • Podcast dan Video: Ikuti pakar kewangan seperti Dave Ramsey atau Tony Robbins.
  • Kelas Kewangan: Sertai seminar atau bengkel kewangan untuk pemahaman lebih mendalam.


10. Kawal Perbelanjaan Boros

Tips untuk Berbelanja dengan Bijak:

  • Buat Senarai Belanja: Jangan beli sesuatu tanpa perancangan.
  • Tunggu 24 Jam: Sebelum membeli barang mahal, fikir dua kali.
  • Cari Tawaran: Bandingkan harga atau beli ketika promosi.

Elakkan:

  • Terpengaruh dengan trend media sosial.
  • Membeli barang untuk menunjuk-nunjuk.

Dengan disiplin dan kesedaran, orang muda boleh membentuk asas kewangan yang kukuh, menjamin masa depan yang lebih stabil dan bebas kewangan. Anda boleh memulakan perlahan-lahan tetapi konsisten!