
KUALA LUMPUR: Celik pengurusan kewangan perlu menjadi matlamat utama umat Islam masa kini bukan sahaja untuk merancang perbelanjaan, bahkan menguruskan hutang dengan lebih sistematik.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Fuadah Johari, berkata celik dan mahir selok-belok pengurusan kewangan adalah sebahagian daripada tuntutan agama.
Katanya, perspektif pengurusan kewangan teratur amat dituntut agama dan umat Islam seharusnya melakukan anjakan minda dalam memastikan disiplin tatakelola kewangan lebih baik.
"Islam melarang pembaziran (isyraf) serta bersifat bakhil serta kedekut dan hal ini orang ramai khususnya kalangan Muslim amat digalakkan membuat perancangan berhemah.
"Dalam konteks ini, umat Islam harus memahami prinsip asas maqasid syariah, iaitu pengurusan kewangan adalah amanah untuk menjaga maslahah (kepentingan) kehidupan seperti perlindungan keperluan asas, kesejahteraan keluarga dan pemeliharaan amanah harta sebaiknya.
"Masyarakat Islam juga dituntut mengamalkan disiplin kewangan dengan berbelanja mengikut kemampuan, mengutamakan keperluan berbanding kehendak dan menyimpan untuk masa hadapan," katanya.
Pengurusan patuh syariah
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai disiplin kewangan dan kefahaman umat Islam, termasuk persediaan tabungan bagi menunaikan haji kelak.
Fuadah yang juga Felo Penyelidik, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam menjelaskan, tuntutan meningkatkan literasi kewangan Islam penting bagi memastikan pengurusan kewangan patuh syariah, tersusun dan sistematik serta disusuli perancangan teliti bagi menjamin kesejahteraan kewangan ummah.

"Literasi kewangan Islam akan membolehkan Muslim lebih memahami konsep zakat, sedekah dan wakaf yang bukan sahaja mendisiplinkan kewangan peribadi, tetapi memberikan manfaat kepada masyarakat.
"Justeru, tindakan boleh dilakukan untuk mencapai tahap literasi kewangan lebih baik adalah menerusi pendidikan kewangan Islam secara meluas supaya ia dapat membangkitkan lagi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya memahami konsep kewangan patuh syariah.
"Dalam hal ini, kursus atau bengkel pengurusan kewangan Islam patut dianjurkan seperti di masjid, sekolah dan komuniti," katanya.
Beliau berkata, langkah seterusnya ialah mengetengahkan modul bajet dan pelaburan berdasarkan prinsip syariah supaya seseorang dapat merancang kewangan berdasarkan keutamaan Islam.
"Perkara ini dapat dilakukan dengan membuat perancangan takaful untuk melaburkan harta dalam instrumen patuh syariah seperti sukuk, saham patuh syariah atau dana unit amanah Islam serta mengelak pelaburan dalam sektor dilarang seperti riba, perjudian atau produk haram.
"Seterusnya, umat Islam perlu didedahkan dengan budaya amalan dermawan menerusi galakan umat Islam menyumbang melalui wakaf, sedekah atau infak yang berpotensi mengukuhkan institusi kebajikan Islam," katanya.
Katanya, ia juga dilakukan dengan usaha dapat memperkasakan institusi zakat, wakaf dan baitulmal untuk membantu orang Islam memerlukan sokongan kewangan, sekali gus memastikan keseimbangan ekonomi dalam masyarakat.
Bakal haji perlu merancang
Dalam pada itu, beliau berkata, untuk memastikan bakal haji mempunyai simpanan mencukupi, bakal jemaah perlu merancang secara berhemah.

"Kewajipan menunaikan haji hanya tertakluk kepada mereka berkemampuan, namun apabila ada orang Islam mengharapkan bantuan kewangan daripada saudara-mara atau jiran untuk mencukupkan simpanan mereka, ia menunjukkan keperluan mendesak memperkukuhkan budaya perancangan kewangan dalam kalangan umat Islam.
"Justeru, bagi mengelakkan perkara ini berlaku dalam kalangan masyarakat, orang Islam perlu memulakan tabungan awal, termasuk membuka akaun simpanan haji di Tabung Haji seawal mungkin.
"Tabungan secara konsisten, walaupun dalam jumlah kecil akan memberikan peluang untuk mengumpul dana dalam jangka masa panjang.
"Ibu bapa perlu bertindak memulakan simpanan untuk anak-anak khusus untuk tujuan menunaikan haji, sebagai langkah awal membudayakan perancangan kewangan dalam keluarga.
"Kita perlu membudayakan konsep istiqamah menabung sebagai disiplin dan menjadi sebahagian daripada rutin kewangan, mengutamakan prinsip 'menyimpan sebelum berbelanja'," katanya.
Ini adalah selari dengan konsep asal penubuhan Tabung Haji seperti yang diilhamkan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz bagi mendidik disiplin pengurusan kewangan dalam kalangan masyarakat Melayu untuk mencapai cita-cita menunaikan haji di Tanah Suci.
Semestinya perlu ada anjakan pemikiran yang lebih maju ke hadapan kerana kita tidak mahu lagi melihat masyarakat kita berkorban harta, binatang ternakan dan tanah semata-mata untuk mencukupkan tabungan bagi menunaikan haji seperti suatu ketika dahulu.
Kredit : BHarian
No comments:
Post a Comment